Teks hadis:
اطلبوا الْعِلْمَ ولوْ بالصِّينِ فإِنّ طَلَبَ العِلْم فَرِيضَةٌ على كُلِّ مُسْلِمٍ
Terjemahan:
”Tuntutlah ilmu walaupun di China. Maka sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah fardu ke atas setiap muslim”.
Keterangan:
Ada yang menyangka bahwa matan hadis penuh seperti di atas adalah hasan kerana jalan-jalan riwayatnya yang banyak (lihat seperti dalam: فيض القدير). Walhal perbincangan tentang matan hadis ini sebenarnya perlu dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian kedua hadis di atas (فإن طلب العلم فريضة على كل مسلم) telah diriwayatkan dari Anas RA oleh 20 orang perawi sepertimana kata Ibn ’Arraq dan ianya itu bertaraf hasan.
Bahagian awal hadis ini (اطلبوا العلم ولو بالصين،) fokus perbincangan kita pula telah diriwayatkan oleh Anas RA dan Abu Hurairah RA. Namun perbincangan akan tertumpu kepada riwayat Anas kerana riwayat Abu Hurairah mengandungi perawi yang memalsukan hadis. Riwayat Anas pula telah diriwayatkan oleh 4 orang perawi, iaitu Ibrahim al-Nakha’i, al-Zuhri, Ibn Sirin dan Abu ’Atikah Tarif bin Salman.
Bagaimanapun, perbincangan akan tertumpu kepada riwayat Abu ’Atikah Tarif bin Salman sahaja kerana jalan-jalan riwayat yang lain itu tidak dapat dipertanggungjawabkan. Ini kerana riwayat Ibrahim al-Nakha’i terputus dan riwayat dari al-Zuhri pula mengandungi perawi pendusta. Manakala riwayat Ibn Sirin di sisi Abu Ya’la dan Ibn ’Abd al-Barr, seperti yang dikatakan oleh al-Suyuti dapat menyokong riwayat Abu ’Atikah (al-Ta’aqqubat ’ala al-Mawdu’at oleh al-Suyuti), namun dakwaan al-Suyuti ini tidak dapat dibuktikan kerana nuskhah Ibn ’Abd al-Barr dan Abu Ya’la yang ada tidak merekodkannya.
Ringkasnya, - al-faqir hanya menukil perbahasan para pengkritik hadis sebelum ini – para ulama hadis yang telah mengeluarkan jalan riwayat Abu ’Atikah ialah:
- ابن عدي ( 207 / 2 ).
- وأبو نعيم في " أخبار أصبهان " ( 2 / 106 ).
- وابن عليك النيسابوري في " الفوائد " ( 241 / 2 ).
- وأبو القاسم القشيري في " الأربعين " ( 151 / 2 ).
- والخطيب في " التاريخ " ( 9 / 364 ) وفي " كتاب الرحلة " ( 1 / 2 ).
- والبيهقي في الشعب (1663) (4 / 174) و" المدخل " (243).
- وابن عبد البر في " جامع بيان العلم " (15- 21) ( 1 / 7 - 8 ).
- والضياء في " المنتقى من مسموعاته بمرو" ( 28 / 1 ).
- المنتخب من علل الخلال (63).
Kesemua mereka meriwayatkan hadis ini daripada al-Hasan bin ‘Atiyyah yang memberitakan daripada Abu ‘Atikah Tarif bin Salman dari Anas RA secara marfu’. Manakala…
- العقيلي في " الضعفاء " (864) ( 196 )
Beliau meriwayatkannya daripada Hammad bin Khalid al-Khayyat yang memberitakan daripada Abu ‘Atikah Tarif bin Salman dari Anas RA secara marfu’.
Maka, meskipun al-Hasan bin ‘Atiyyah daif, namun riwayat beliau dari Abu ‘Atikah disokong oleh Hammad bin Khalid al-Khayyat. Justeru, perbincangan para pengkritik hadis ini secara fokus, sebenarnya tertumpu kepada Abu ‘Atikah. Dan kesemua ulama al-jarh wa al-ta’dil pula telah mendaifkan beliau.
- Al-‘Uqayli dalam riwayatnya di atas hanya mengecam Abu ‘Atikah katanya: Matruk al-hadith.
- Kata al-Bukhari: Munkar al-hadith.
- Kata al-Nasa’i: Tidak thiqah.
- Kata Abu Hatim: ’Pergi’ hadisnya.
- Al-Sulaimani menyenaraikannya dalam kalangan orang yang memalsukan hadis.
- Kata al-Tirmizi: Abu ’Atikah didaifkan (no. 658).
- Yahya bin Ma’in pula tidak mengenalinya.
- Kata al-Daraqutni: Daif.
- Kata Abu Ahmad al-Hakim: Tidak kuat menurut mereka, yakni ahli hadis.
- Kata al-Bazzar: Abu ’Atikah tidak dikenali dan tidak diketahui dari mana dianya (no. 95).
Imam Ahmad apabila mendengar hadis ini sangat mengingkarinya (المنتخب من علل الخلال). Yakni mengingkari keseluruhan matannya tentang kefarduan menuntut ilmu ke atas setiap muslim, di mana kata beliau: (لا يثبت عندنا فى هذا الباب شئ). (تنزيه الشريعة ج:1 ص:257). Demikian juga pendapat al-Bazzar dalam Musnadnya kata beliau: (وَكُلُّ مَا يُرْوَى فِيهَا عَنْ أَنَسٍ ، فَغَيْرُ صَحِيحٍ). Sedangkan berdasarkan penyelidikan lanjut oleh sebilangan pengkaji hadis kemudiannya, didapati bahagian kedua hadis ini adalah hasan, malah ada yang mensahihkannya.
Meneliti Kritikan Ibn al-Jawzi
Ibn al-Jawzi memuatkan hadis ini dalam al-Mawdu’atnya (1/215) dengan katanya: Hadis ini tidak sah dari Rasulullah SAW. Namun beliau hanya menyatakan al-Hasan bin ‘Atiyyah didaifkan oleh Abu Hatim dan Abu ’Atikah pula disebut oleh al-Bukhari: Munkar al-hadith. Setelah itu dibawakan kata-kata Ibn Hibban: ”Hadis ini batil, tiada asal baginya”.
Jelasnya beliau hanya menyokong pendapat Ibn Hibban tanpa membawakan hujah yang kukuh kenapa hadis tersebut batil dan palsu. Kerana zahir ‘illah yang dinyatakan oleh beliau hanya menunjukkan hadis tersebut sekadar bertaraf amat daif. Dan tidak pula dapat dipastikan jalan riwayat manakah yang ditolak oleh Ibn Hibban. Sedang Ibn al-Jawzi sendiri telah meriwayatkan hadis ini dari 4 jalan riwayat yang berbeza daripada Abu ’Atikah (lihat diagram sanad). Kemungkinan ini adalah di antara kelonggaran Ibn al-Jawzi yang mudah menghukum sesuatu hadis sebagai palsu sebagaimana yang telah masyhur.
Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Da’ifah (no. 416) hanya mengikut pendapat Ibn Hibban sebagai batil, sedang kata-kata Ibn Hibban itu belum dapat dibuktikan secara terperinci. Bahkan kebanyakan ulama hanya menukilkan kata-kata Ibn al-Jawzi berserta hukum Ibn Hibban ini, di samping menukilkan pandangan yang hanya mendaifkannya. Lihat seperti dalam: ( المقاصد الحسنة للسَّخاوي - 125) dan (تنزيه الشريعة ج:1 ص:257).
Di antara yang sependapat dengan Ibn Hibban ialah al-Bazzar, katanya: ”Tiada bagi hadis ini asalnya” (no. 95). Seperti al-’Uqayli beliau juga mengecam riwayat ini kerana Abu ’Atikah.
Antara ulama yang berpada dengan hukum daif sanadnya ialah al-Bayhaqi yang menyatakan dalam (المدخل إلى السنن الكبرى): ”Hadis ini matannya masyhur dan sanad-sanadnya daif. Aku tidak tahu satu sanad pun yang dapat menjadikan hadis ini sabit dengannya. Wallahu a’lam”. Antaranya lagi ialah al-‘Iraqi dalam Takhrij Ihya’ ‘Ulumiddin. Dan al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir (no. 1110) hanya mengisyaratkannya sebagai daif.
Kedudukan Abu ’Atikah
Menurut al-Zahabi dalam al-Mizan - no. 10339: Beliau disepakati kedaifannya (مجمع على ضعفه). Meskipun Abu ’Atikah daif, namun al-Suyuti menyatakan bahawa beliau tidak dicap sebagai pendusta atau dituduh berdusta, dan beliau termasuk di kalangan perawi-perawi dalam Sunan al-Tirmizi (al-Ta’aqqubat ’ala al-Mawdu’at oleh al-Suyuti). Demikian juga penilaian Ibn Hajar dalam Taqrib al-Tahzib (no. 8229) sebagai daif sahaja, dan seolah-olah beliau menolak kritikan al-Sulaimani yang menyenaraikannya dalam kalangan orang yang memalsukan hadis dengan katanya: ”al-Sulaimani agak berlebihan terhadapnya”. Seolah-olah tuduhan tersebut tidak mempunyai bukti yang kuat, maka beliau mengkategorikannya di tabaqat ke lima.
Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan al-Dawlabi dalam al-Kuna bahawa Hammad bin Malik bertanya kepada Abu ’Atikah, dan ketika itu beliau sudah berusia 164 tahun (!): Barangkali sudah bercampur aduk akal tuan ke atas tuan sendiri? Maka jawabnya: Ya. (al-Tahzib, no. 8527)
وأخرج النسائي والدولابي في الكنى من طريق حماد بن مالك سألت شيخا يقال له طريف بن سلمان أبو عاتكة وكان قد أتى عليه مائة سنة وأربع وستون، فقلت: ربما اختلط عليك عقلك؟ فقال: نعم.
Para pengkaji tidak menyebut tentang bila al-Hasan bin ‘Atiyyah dan Hammad bin Khalid al-Khayyat meriwayatkan hadis ini daripada beliau, sama ada sebelum atau sesudah bercampur aduk ingatannya. Ia tidak perlu kerana mereka sudah menghukumkannya sebagai daif. Inilah punca barangkali kenapa para pengkritik hadis mendaifkan beliau, bukan disebabkan beliau memalsukan hadis sepertimana dakwaan al-Sulaimani.
Maka secara kesimpulan, beliau tidak dihukum secara terlalu berat kecuali oleh al-Sulaimani. Al-Sulaimani, Ahmad bin ’Ali (m. 404H) antara ulama hadis yang ketat dan keras dalam menghukum para perawi. Ada sebahagian hukum jarhnya terhadap tokoh-tokoh ulama ditolak, seperti menuduh al-Zubayr bin Bakkar, al-Fadl bin al-Hubab, al-Bazzar dan Ibn Jarir al-Tabari memalsukan hadis. Beliau turut mengatakan al-Baghawi mencuri hadis, dan Ibn Abi Hatim pula berfahaman Syiah. Di sini pula, kita lihat al-Hafiz Ibn Hajar seakan-akan tidak setuju dengan beliau mengenai status Abu ’Atikah.
Hukum al-Bukhari (munkar al-hadith), al-Nasa’i (tidak thiqah) dan al-’Uqayli (matruk al-hadith) pula dapat dikategorikan sebagai agak berat juga yang menjadikan hadis ini sangat daif. Manakala hukum al-Tirmizi, Ibn Ma’in, al-Daraqutni dan Abu Ahmad al-Hakim lebih ringan jarhnya yang menjadikan hadis ini hanya daif. Maka jelas, perbezaan hukum hadis di sisi para pengkritik hadis ini adalah kerana Abu ’Atikah, sama ada hadis tersebut menjadi palsu, sangat daif, ataupun daif sahaja.
Kejutan Riwayat Ibadhiyyah
Setelah saya menulis penjelasan di atas, baru saya menemukan riwayat hadis ini dalam Musnad al-Rabi’ (no. 18), pegangan faham Ibadhiyyah, salah satu cabang Khawarij moderat yang masih kekal dan hampir kepada Ahlus Sunnah. Ia adalah mazhab rasmi negara Oman kini. Amat menghairankan, riwayat ini tidak disebut oleh mana-mana pakar pengkritik hadis di atas, dan ia lain dari jalan riwayat Abu ‘Atikah. al-Rabi’ bin Habib bin ’Amr al-Basri adalah ulama hadis Ibadhiyyah dan tokoh besar mereka. Teks riwayat hadisnya adalah seperti berikut:
قال الربيع بن حبيب: حدثني أبو عبيدة عن جابر بن زيد عن أنس بن مالك عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: اطلبوا العلم ولو بالصين.
Guru al-Rabi’, Abu ’Ubaydah ialah Muslim bin Abi Karimah. Menurut Abu Hatim: Majhul, namun Ibn Hibban menyebutnya dalam kitab al-Thiqat seraya katanya: “Namun saya tidak berpegang dengannya”, yakni kerana berfahaman Syiah. (Lisan al-Mizan). Beliau adalah faqih dari kalangan tokoh ulama Ibadhiyyah (al-A’lam – al-Zirikli).
Guru beliau, Jabir bin Zaid pula adalah seorang yang faqih dan thiqah. Dikatakan berfahaman Ibadhiyyah, namun beliau diriwayatkan berkata: “Aku berlepas diri kepada Allah dari yang demikian”. (Tahzib al-Tahzib, no. 61). Maka jika sah sanad ini, ia dapat menyokong riwayat Abu ‘Atikah di atas. Ini kerana ada yang mempertikaikan kredibiliti nuskhah Musnad al-Rabi’ berkenaan. Malah al-Rabi’ Abu ‘Amr ini juga tidak begitu popular dalam kitab-kitab rijal Ahlus Sunnah. Secara zahirnya sanad ini sah di sisi Ibadhiyyah dari riwayat imam mereka!! Dalam menerima atau menolak hadis, apa yang menjadi ukuran ialah sifat benar dan amanah perawi, walaupun ianya dari kalangan ahli bidaah.
Rumusan
Secara teori, mereka yang menolak hadis ini tidak dapat menghukum secara jazam dan yakin akan kepalsuannya. Ia ditolak adalah berdasarkan kepada seni pengkritikan hadis yang berbentuk ijtihadi. Demikian juga mereka yang menghukumnya sebagai daif juga sudah tentu tidak dapat menghukum secara jazam dan yakin akan kesabitannya. Ia hanya dapat digunapakai sebagai motivasi (fada’il) sahaja tanpa menisbahkannya secara pasti kepada Rasulullah SAW. Saya lebih cenderung kepada pendapat ini selagi bukti kukuh tentang pemalsuan Abu ’Atikah, seorang tabiin dan murid kepada Anas bin Malik r.a. tidak ditemukan.
Apatah lagi jika digabungkan dengan kemungkinan-kemungkinan yang ada pada jalan-jalan riwayat Ibrahim al-Nakha’i, al-Zuhri, dan juga Ibn Sirin, walaupun tidak diterima secara ilmiah. Lebih-lebih lagi sokongan dari riwayat al-Rabi’ bin Habib yang dapat mengubah riwayat Abu ’Atikah ini menjadi kuat sedikit. Bahkan ianya sabit menurut jalur riwayat imam-imam Ibadhiyyah! Apa pun kita bukannya hendak mensahihkan hadis ini dan menjadikannya sebagai hujah. Tujuannya adalah agar kita tidak mencemuh dan mendabik dada apabila melihat orang lain menyebutkannya, seperti kita berkata: ”Apa ustaz ni? Pakai hadis palsu!” ... Sekian.
Wallahu a’lam.
1 comment:
Salam ustaz.. Ana al-faqir juga ada ulas tentang hadis ini sebatas ilmu al-faqir yang terhad di sini:
http://ad-deen.proboards.com/index.cgi?board=hadis&action=display&thread=40
Harap ustaz boleh ulaskan dan perbaiki jika ada penambahan dan tashih.
Post a Comment