“Telah mati seorang lelaki di kalangan Yahudi, sedangkan
beliau pernah menyimpan barangan bagi seorang Islam. Orang Yahudi tersebut
mempunyai seorang anak yang beragama Islam, dan dia tidak mengetahui di mana
diletakkan barang simpanan tersebut, lalu dia bertanya kepada Syu’aib
al-Jubba’i, kemudian katanya: “Pergilah kamu ke Barahut, dan sebelumnya ada
mata air yang tenang. Apabila ia kering pada hari Sabtu, lintasilah ia sehingga
kamu sampai ke satu mata air telaga di sana. Kemudian serulah nama ayahmu,
nescaya ia akan menjawab panggilanmu. Ketika itu tanyalah daripada apa yang
kamu mahu”. Lantas lelaki tersebut pun melakukan suruhan Syeikh Syu’aib itu
dengan pergi ke mata air tersebut, seterusnya menyeru nama ayahnya dua kali
atau tiga kali. Selepas itu ayahnya menjawab dan dia bertanya: “Di manakah
barang simpanan si fulan itu?” Jawab ayahnya: “Di bawah bendul pintu, maka
serahkanlah barang tersebut kepadanya dan kekallah kamu di atas keadaan kamu sekarang
ini (iaitu kekal di dalam Islam).”
Cerita ini dirujukkan kepada buku Bi’ru Barahut Rehlah Istiksyafiyah,
Geografiyah al-Sunnah al-Nabawiyyah karya Dr. Anmar bin Yahya al-Jufri. Ia sebenarnya
dinukilkan daripada Imam Ibn Abi al-Dunya (w. 281H) dalam Kitab al-Qubur
yang mencatatkan dengan sanadnya sepertimana berikut:
حدثنا الحسن بن عبد العزيز ثنا عمرو بن أبي سلمة عن عمر بن سليمان
قال: "مات رجل من اليهود وعنده وديعة لمسلم، وكان لليهودي ابن مسلم فلم يعرف
موضع الوديعة، فأخبر شعيباً الجبائي فقال: "ائت برهوت، فإن دونه عين تسبت،
فإذا جفت في يوم السبت فامش عليها حتى تأتي عينا هناك فادع أباك، فإنه سيجيبك
فاسأله عما تريد". ففعل ذلك الرجل، ومضى حتى أتى العين، فدعا أباه مرتين، أو
ثلاثاً، فأجابه فقال: "أين وديعة فلان؟"، قال: تحت أسكفة الباب، فادفعها
إليه، والزم ما أنت عليه".
Analisa sanad:
- (الحسن بن عبد العزيز) – al-Hasan bin ‘Abdul ‘Aziz adalah seorang yang thiqah. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut beliau adalah thiqah, thabat, abid lagi fadhil (w. 257H). (al-Jarh wa at-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim no. 102, Taqrib at-Tahzib no. 1253)
- (عمرو بن أبي سلمة) – Menurut Yahya bin Ma‘in: ‘Amru bin Abi Salamah adalah daif. Menurut Abu Hatim: Boleh ditulis hadisnya, namun tidak boleh berhujah dengannya (يكتب حديثه ولا يحتج به). (al-Jarh wa at-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim no. 1304). Kata as-Saji: Daif. Kata al-‘Uqaili: Pada hadisnya terdapat waham. Bagaimanapun, beliau adalah termasuk rijal al-Bukhari dan Muslim, bahkan rijal al-Kutub as-Sittah. Ibn Hibban menyebutnya dalam kalangan at-Thiqat. Ibn Yunus dan al-Walid bin Muslim mengatakannya thiqah (w. 213 @ 214H) (Tahzib at-Tahzib no. 70). Al-Hafiz Ibn Hajar merumuskan kedudukannya seperti berikut: Benar, namun mempunyai kesilapan-kesilapan (صدوق له أوهام). (Taqrib at-Tahzib no. 5043)
§
(عمر
بن سليمان) – ‘Umar bin
Sulaiman, bin ‘Asim bin ‘Umar bin al-Khattab RA
adalah seorang yang thiqah (Taqrib at-Tahzib no. 4912). Juga
dikatakan dipanggil: ‘Amru bin Sulaiman. Ibn Hibban menyebutnya dalam kalangan at-Thiqat.
Beliau adalah termasuk golongan atba‘ tabi‘in, yang sezaman dan satu tabaqat
dengan Ibn Juraij yang wafat tahun 150H. an-Nasa’i mengatakannya thiqah.
Kata Yahya bin Ma‘in: Thiqah, dan menurut Abu Hatim: Soleh. (al-Jarh wa
at-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim no. 598)
Jelas dalam sanad ini juga tiada perawi yang dapat kita katakan sebagai
pendusta atau pemalsu berita. Pentahkik Kitab al-Qubur, Tariq
Muhammad al-‘Amudi mengatakan sanad kisah ini daif kerana kelemahan pada ‘Amru
bin Abi Salamah. al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam Ahwal al-Qubur dan
Imam al-Suyuti dalam Syarh al-Sudur mencatatkannya tanpa sebarang ulasan
tentang darjatnya.
Jika kita katakan kedaifan yang
dilontar kepada ‘Amru bin Abi Salamah itu hanya bersangkut dengan periwayatan
hadis-hadis sahaja kerana ketelitian imam-imam dalam soal hadis, maka tidak
bermakna semua cerita-cerita selain hadis yang disampaikannya juga begitu.
Tidak mungkin kita katakan seumur hidupnya dipenuhi dengan kesilapan-kesilapan
dalam berbicara. Apatah lagi kisah luar biasa yang seperti itu, tidak mungkin
dapat dilupakan dengan mudah. Justeru, ulama hadis yang mengatakan beliau itu thiqah
dapat diambil kira dalam hal ini, bukannya tidak ada nilai langsung sepertimana
yang disangka oleh sesetengah orang.
Sebab itu, Imam al-Bukhari
sendiri ada mengambil kira riwayatnya sebagai mutaba‘ah (sokongan).
Malah, banyak hadis-hadis yang diriwayatkan melalui beliau oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak
dipersetujui sebagai sahih oleh az-Zahabi juga. Kerana tiada kefahaman jelas
dalam masalah ilmu al-Jarh wa at-Ta‘dil, sebahagian orang menyangka bahawa
kedaifan pada sesetengah perawi itu adalah secara zat, yakni tabiat peribadi
semulajadi yang melazimi dirinya sepanjang hayat, sedangkan ia sebenarnya hanya
dalam soal periwayatan hadis-hadis yang merupakan kalam suci Nabi SAW yang mesti
dipelihara dengan teliti. Berapa ramai perawi yang dihukum daif, padahal mereka
adalah tokoh-tokoh hebat di tempatnya dan hamba-hamba Allah yang soleh, zuhud dan warak yang tinggi kedudukannya
di sisi Allah SWT.
Apa yang utama, kisah ini sedikit
sebanyak dapat mengukuhkan bahawa kejadian seperti kisah yang pertama itu
bukanlah satu cerita yang diada-adakan atau direka-reka sebagaimana dakwaan
sesetengah orang.
Wallahu a‘lam.
No comments:
Post a Comment