Syeikh Yusuf bin Syihabuddin (1889 - 1973M) adalah mufti pertama kerajaan negeri Selangor (1952-1968M) pada zaman Sultan Selangor al-Marhum Sultan Hishamuddin. Antara karya-karyanya ialah:
1. Irshad al-Ummah ila al-Mazahib al-Arba’ah.
2. Mukhtasar min Anwar al-Quran fi Radd Mutanabbi’ al-Qadiyan.
3. Sekitar Hukum Memungut Zakat.
4. Kifayah al-Salik wa Bulghat al-‘Abid al-Nasik.
Kitab Irshad al-Ummah ila al-Mazahib al-Arba’ah adalah kitabnya dalam menolak fahaman kaum muda yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor dan selesai disusun oleh beliau pada 8hb. Mac tahun 1957. Ini bermakna pada zaman beliau telah berlaku perselisihan antara ulama tradisional dan kaum muda. Realiti yang berlaku pada zaman seterusnya menunjukkan penyebaran fahaman kaum muda ini di Selangor tidaklah begitu luas dan bertahan lama.
Kata Syeikh Yusuf bin Syihabuddin Selangori di awal kitab tersebut (h. 2-3): "Sungguhnya setengah daripada orang yang menjalankan kebinasaan pada agama Islam zaman yang akhir ini mereka berpegang ia pada alasan mengata ketiadaan harus taqlid bagi salah satu dari ulama’ al-mujtahidin (mazhab yang empat) ; al-Hanafi Nu’man bin Thabit, al-Maliki Malik bin Anas, al-Syafi’i Muhammad bin Idris, al-Hanbali Ahmad bin Hanbal رضوان الله عليهم
Dan katanya wajib ijtihad sehingga pada furu’ al-syari’ah (hukum fiqh) pun, dan semua orang Islam, kerana mengikut kata-kata orang alim pemuda-pemuda sekarang, dan bekerjalah mereka itu menghamburkan pekerjaan yang merosakkan agama dengan membuat risalah-risalah dan bersyarah ke sana ke mari dengan mengatakan kita berpegang kepada Quran dan Sunnah (hadith). Setengah daripadanya dengan mendengar syarahan itu tiadalah mereka itu menghiraukan lagi dengan perkataan ulama al-mujtahidin dan pengikut-pengikut mereka itu daripada ulama-ulama al-a’lam, dan hanya diambil kebilangan sahaja dengan barang yang zahir baginya daripada Quran dan Sunnah (hadith) dengan tiada lagi berpegang dengan syarat-syarat imam mujtahidin , dan tiada memandang kepada wujud yang menegahkan dan yang menahankan bagi yang demikian itu, atau tiadanya. Dan mentafsirkan ia akan beberapa ayat Quran dan hadith dengan akal sendiri. Mereka inilah yang dikehendaki oleh hadith meriwayatkan Ibnu ’Abbas (رضي الله عنهما) dengan katanya: (آفات العلم ثلاثة: فقيه فاجر، وإمام جائر، ومجتهد جاهل), Bermula kebinasaan ilmu itu tiga: faqih yang jahat, sultan yang zalim dan orang yang mujtahid yang jahil”.
Ulasan:
Hadith berkenaan disebut oleh Imam al-Suyuti di dalam al-Jami' al-Kabirnya dengan lafaz : (آفة الدين ثلاثة: فقيه فاجر، وإمام جائر، ومجتهد جاهل. ), "Kebinasaan agama itu tiga ...", dari riwayat al-Daylami daripada Ibn 'Abbas RA. Syeikh al-'Ajluni yang memuatkan hadith ini dalam kitabnya (كشف الخفاء ومزيل الإلباس عما اشتهر من الأحاديث على ألسنة الناس) tidak mengulas apa-apa tentang darjatnya. Namun, sedia dimaklumi oleh para pengkritik hadith bahawa kitab al-Daylami adalah dalam kategori sumber bagi hadith-hadith da'if.
Wa Allahu a'lam.
3 comments:
boleh saya tau...dimana saya boleh dapatkan karangan tuan syeh yusuf
Sebenarnya kita memerlukan banyak 'kader' untuk menerbit semula karya-karya ulama Melayu dulu dan memberikannya nafas baru.Tapi tak ramai yang sungguh2. Amat banyak di khazanah fataniyyah yang perlu kepada tahkik dan tanqih.
- al-'Abd al-Da'if
kenapa Mufti Selangor hari ini tidak memberi pedoman dan pencerahan kepada ummah. Mana tulisan dan buku karangannya yang boleh dijadikan rujukan masyarakat yang semakin keliru ini.
Mungkin diluar sana ramai lagi calon-calon yang lebih layak dan sesuai untuk memimpin ummah.Wallah a'lam.
Post a Comment