Tuesday, August 4, 2009

ISA.. Sudah Ribuan Tahun, Bukan 49

Saya tidak ingin menyentuh isu pemansuhan atau pengekalan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) 1960. Cuma ingin saya berkongsi maklumat bahawa perlaksanaan tindakan keselamatan dalam negeri ini sebenarnya sudah dipraktikkan oleh manusia sejak ribuan tahun dahulu. Mereka yang berkuasa punya hak kebebasan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan negara, walaupun kadangkala dalam masa yang sama mereka menafikan hak kebebasan orang lain. Ini bergantung kepada kebijaksanaan berpolitik. Ketidakcerdikan adakalanya mendorong kepada kezaliman.

Penahanan tanpa bicara ini pernah berlaku kepada Nabi Yusuf AS apabila dia dilihat dapat menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat. Perhatikan firman Allah SWT;


Terjemahan:

(Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan dan akan menjadi dari kalangan orang-orang yang hina." (32) Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". (33) Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (34) Kemudian timbullah fikiran bagi penguasa serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. (35)

Ada tiga pendapat tentang tempoh penahanan Nabi Yusuf AS ini;

1- 7 tahun, menurut Ibn Juraij, Qatadah dan Wahb bin Munabbih.

2- 12 tahun, menurut Ibn 'Abbas RA.

3- 14 tahun, menurut al-Dahhak. (Lihat: Tafsir al-Qurtubi)

Secara zahirnya, tindakan yang diambil oleh penguasa itu tidak dikritik oleh al-Quran. Meskipun demikian, tempoh antara 7 atau hingga 14 tahun itu bukanlah suatu tempoh yang sedikit dan agak zalim kerana kesalahan yang tidak terbukti. Sebenarnya isu yang sebenar bukanlah antara pemansuhan atau pengekalan akta keselamatan ini, tetapi adalah isu penyalahgunaan kuasa, kepentingan peribadi dan penganiayaan, jika ia benar-benar berlaku.

Wallahu a'lam.

No comments: