Monday, August 3, 2009

Kisah-kisah Para Ulama (1)

Kisah Sayyid 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki dengan Syeikh 'Abdur Rahman bin Sa'di


Suatu ketika Sayyid 'Alawi duduk dalam halaqahnya di Haram Makki, dan sedang duduk di suatu sudut lain Syeikh 'Abdur Rahman bin Sa'di, pengarang sebuah kitab tafsir. Orang ramai pula sedang bersolat dan bertawaf. Dan di langit awan mendung sedang berarak. Kemudian hujan pun turun. Air hujan yang turun di atas Kaabah mengalir keluar melalui saluran mizab. Lantas ramai orang bergegas ke mizab tersebut untuk mendapatkan air daripadanya. Lalu mereka membasahkan baju dan badan mereka dengannya sebagai mengambil berkat.

Melihat hal itu, sekumpulan 'orang badwi' menegah mereka kerana menyangka ianya adalah syirik. Kata mereka: "Jangan, wahai orang-orang musyrik,.. syirik, syirik!". Lalu semua orang pun beredar dan menuju ke halaqah Sayyid 'Alawi. Mereka bertanya tentang perkara tersebut, dan beliau mengharuskannya. Lantas orang ramai pun pergi sekali lagi ke mizab tersebut. 'Orang-orang badwi' tadi pergi kepada halaqah Syeikh 'Abdur Rahman dan mengadu kepadanya. Lantas beliau pun pergi bertemu dengan Sayyid 'Alawi. Maka ramai orang berkumpul kepada dua orang ulama tersebut. Kata Syeikh Abdur Rahman: Betulkah tuan mengatakan kepada orang ramai bahawa dalam air hujan tersebut ada barakah? Jawab Sayyid 'Alawi: Bahkan, ada dua barakah. Balas Syeikh Abdur Rahman: Macammana demikian? Jawabnya lagi: Kerana Allah Ta'ala berfirman dalam kitab-Nya mengenai hujan (ونزلنا من السماء ما ء مباركا) "Dan Kami turunkan daripada langit air yang diberkati", dan mengenai Kaabah pula (إن أول بيت وضع للناس للذي ببكة مباركا) "Sesungguhnya rumah pertama Allah yang dibina untuk manusia ialah yang berada di Makkah lagi diberkati". Maka sekarang terkumpul dua barakah; barakah air hujan dan barakah baitullah ini.

Mendengar itu, Syeikh Abdur Rahman merasa takjub: Subhanallah, macammana kami boleh lupa hal ini? Lalu beliau pun berterima kasih kepada Sayyid 'Alawi dan meminta izin untuk beredar. Lantas kata Sayyid 'Alawi: Nanti dulu ya syeikh, tidakkah kamu lihat 'orang-orang badwi' itu menyangka bahawa apa yang dibuat oleh orang ramai itu sebagai syirik? Mereka tidak berhenti mengkafirkan orang dan melontar mereka dengan tuduhan syirik, sehingga melihat orang yang seumpama tuan yang dapat menegah mereka. Pergilah ke mizab dan ambil air hujan tersebut di hadapan mereka agar mereka membiarkan orang ramai. Kemudian Syeikh Abdur Rahman pun pergi ke mizab dan mengambil sendiri air hujan itu sebagai mengambil berkat. Akhirnya 'orang-orang badwi' tadi meninggalkan orang ramai setelah melihat syeikh mereka berbuat demikian.

Syeikh Abdur Rahman bin Sa'di duduk di tengah-tengah.

Kisah ini telah diceritakan oleh Syeikh 'Abdul Fattah Rawah al-Makki di dalam kitab Thabatnya. Lihatlah bagaimana akhlak para ulama dan keakuran mereka terhadap kebenaran apabila sudah nyata.

No comments: