Monday, August 3, 2009

Ummu Sulaim... Wanita Tabah


Hadith terakhir yang disampaikan oleh Dr. Nur Abdi Gudle dalam pengajian Sahih al-Bukhari pada hari ini ialah hadith mengenai kisah Ummu Sulaim RA. Dalam nuskhah saya, hadith tersebut bernombor 1,301 daripada Kitab al-Jana'iz. Hadith ini sebenarnya dapat menyentuh hati di mana ketabahan dan kesabaran Ummu Sulaim yang tinggi sepatutnya dapat dicontohi. Namun orang yang jauh daripada alam kerohanian dan penyucian jiwa mungkin sukar untuk mencontohinya seperti dalam kisah ini.

Diriwayatkan bahawa anak sulungnya bersama Abu Talhah RA yang masih kecil meninggal dunia setelah menderita sakit beberapa lama. Ketika itu Abu Talhah tiada di rumah. Ummu Sulaim dengan tenang menghadapi kematian anaknya itu. Beliau memandikan, mengkafankan dan menutup anaknya itu dengan kain. Apabila Abu Talhah pulang ke rumah, dia menanyakan tentang keadaan anak kesayangannya itu, Ummu Sulaim hanya menjawab : “Dia kini sudah tenang dan sedang berehat.” Pada sangkaan Abu Talhah, anaknya itu telah sembuh. Kebetulan hari itu mereka berpuasa, maka Ummu Sulaim menyediakan makanan dan berbukalah mereka.

Tiba waktu malam, Ummu Sulaim berdandan dan bersolek serta mengenakan wangi-wangian dan melayan suaminya sehingga suaminya lupa untuk bertanyakan khabar anaknya itu. Sehinggalah keesokan harinya, Abu Talhah bersiap-siap untuk keluar, barulah Ummu Sulaim mengkhabarkan hal sebenarnya kepada Abu Talhah secara lembut. Mendengar itu, Abu Talhah pun merasa marah dan kecewa, lalu dia pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang berlaku antara dia dan isterinya. Tetapi sebaliknya Rasulullah SAW berdoa: “Semoga Allah memberkati kamu berdua pada malam kamu tadi.” Baginda SAW seolah-olahnya gembira dengan perbuatan Ummu Sulaim itu dan mendoakan mereka berdoa. Doa Rasulullah itu akhirnya dimakbulkan Allah SWT. Mereka kemudian dikurniakan ramai anak lelaki yang semuanya berjumlah sembilan orang. Kesemua mereka menjadi orang yang berilmu dan penghafal Al-Quran.

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا -٧٤
(al-Furqan: 74)
"Our Lord! Grant unto us wives and offspring who will be the comfort of our eyes and give us (the grace) to lead the righteous."

1 comment:

ummu 'ammar said...

Entri yang menarik dan terkesan di hati.