Pages

Thursday, December 24, 2009

Mubahalah Ibn Hajar Mengenai Kedudukan Ibn 'Arabi

Antara hujah yang barangkali kuat menurut perkiraan pengkafir Ibn 'Arabi ini ialah peristiwa mubahalah antara al-Hafiz Ibn Hajar dengan seorang peminat Ibn 'Arabi. Saya petik di bawah kisahnya dari tulisan setengah pendakwa "tajdid". Katanya:

"Al-Imam al-Sakhawi (meninggal 902H) dalam bukunya al-Qaul al-Munbi ‘An Tarjamati Ibn ‘Arabi menceritakan bagaimana gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) bermubahalah dengan seorang pengikut Ibn ‘Arabi. Ibn ‘Arabi (bukan al-Imam Ibn al-‘Arabi) ada tokoh sufi sesat yang membawa fahaman wahdatul wujud iaitu penyatuan tuhan dengan manusia. Alirannya itu diikuti oleh banyak para pengikut tarekat sehingga ke hari ini.

Di Malaysia, antara pencintanya adalah juru kempen ajaran martabat tujuh. Pada zaman Ibn Hajar al-‘Asqalani, terdapat para pencinta Ibn ‘Arabi ini. Apabila al-Hafiz Ibn Hajar mempertikaikan Ibn ‘Arabi, mereka cuba mendapatkan campur tangan sultan ketika itu dan menuduh al-Hafiz Ibn Hajar menghina orang soleh. Sehingga akhirnya Ibn Hajar bermubahalah dengan syeikh mereka. Kata Ibn Hajar: Sebutlah “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku”. Lalu dia menyahutnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar pula menyebut: “Ya Allah, jika Ibn ‘Arabi berada atas petunjuk, maka laknatilah aku”. Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, pengikut Ibn ‘Arabi itu menjadi buta lalu ditimpa kematian."

Ulasan

1- Peristiwa mubahalah Ibn Hajar (m. 852H) ini diriwayatkan oleh sahabat-sahabat dan anak-anak murid beliau. Selain dalam (القول المنبي عن ترجمة ابن عربي), al-Sakhawi (m. 902H) juga merakamkannya di dalam kitab (الجواهر والدرر في ترجمة شيخ الإسلام الحافظ ابن حجر). Taqiyuddin al-Fasi (m. 832H) menyebutnya di dalam kitab (عقيدة ابن عربي وحياته). Dan Burhanuddin al-Biqa’i (m. 850H) memasukkannya di dalam kitab beliau (مصرع التصوف), dan lihat juga (تنبيه الغبي على تكفير ابن عربي). Walaupun ada yang cuba menyanggah bahawa kisah mubahalah ini sengaja direka orang yang tidak bertanggungjawab, namun kewujudannya di dalam kitab-kitab ulama berkenaan yang meriwayatkannya daripada Ibn Hajar sendiri memang sukar untuk dikatakan ianya sengaja direka-reka.

2- Berdasarkan riwayat mereka, kisah tersebut berlaku ketika Ibn Hajar berusia 24 tahun, iaitu suatu peringkat usia yang muda dan penuh dengan semangat. Namun kemudiannya, sesudah melalui pelbagai tempoh hidup dan melaksanakan berbagai kajian ilmiah, kami yakini pandangan beliau terhadap Ibn ‘Arabi berubah kepada lebih neutral sebagaimana pandangan al-Zahabi (m. 748H) di dalam kitabnya Mizan al-I’tidal yang dikemaskinikan oleh Ibn Hajar sendiri dalam kitab Lisan al-Mizan (download - dan semak vol. 5). Antara kata-kata al-Zahabi setelah mengemukakan perselisihan ulama tentang Ibn ‘Arabi ialah (3/660):

وقولي أنا فيه: أنه يجوز أن يكون من أولياء الله الذين اجتذبهم الحق إلى جنابه عند الموت وختم له بالحسنى

”Dan pendapat saya mengenai beliau ialah; harus beliau itu dari kalangan wali-wali Allah yang ditarik oleh al-Haq dekat ke sisi-Nya sewaktu mati dan disudahi baginya dengan kebaikan”.

3- Peminat taksub Ibn ’Arabi yang bermubahalah dengan Ibn Hajar itu hanya dikenali dengan nama Ibn al-Amin, seorang individu yang tidak diketahui biografinya secara lengkap kerana tidak disebut dalam mana-mana rujukan, yang menunjukkan beliau bukanlah seorang ulama. Mubahalah berkenaan dilakukan oleh Ibn Hajar kerana beliau diancam oleh Ibn al-Amin untuk mengadukan hal pendiriannya terhadap Ibn ’Arabi kepada Syeikh Safa, yang mampu memanjangkannya kepada Sultan al-Zahir Barquq. Baginda seorang yang amat menghormati Syeikh Safa dan sentiasa mendengar nasihatnya, yang menyebabkan Ibn Hajar khuatir dirinya kelak akan menerima akibatnya. Hal ini menunjukkan bahawa pendirian Ibn Hajar pada mulanya adalah pendirian minoriti ulama pada masa itu. Manakala majoriti mereka secara zahir tidak menyesat atau mengkafirkan Ibn ’Arabi.

4-Harus juga kita katakan bahawa Ibn al-Amin itu adalah antara orang yang sesat kerana tersalah faham terhadap tulisan-tulisan Ibn ’Arabi, lalu berfahaman dengan fahaman hulul dan wahdatul-wujud. Memang tidak sedikit orang yang telah terseleweng dari jalan yang benar kerana keliru dan salah faham terhadap ajaran yang dibawa oleh orang seperti Ibn ’Arabi ini disebabkan kejahilan mereka. Padahal perkara ini sentiasa diperingatkan oleh syeikh-syeikh tasawuf. Maka kemungkinan akibat mubahalah yang diterimanya itu bukan kerana bukti kesesatan Ibn ’Arabi, tetapi kerana kebenaran Ibn Hajar dalam menentang kesesatan Ibn al-Amin. Walaupun mubahalah ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ulama sebelum itu berkaitan masalah agama, lebih-lebih lagi ianya berbentuk zanni, bukan qat’ie (sudah tentu tidak qat’ie kerana Ibn Hajar tidak pernah berjumpa dengan Ibn ’Arabi untuk membahaskan akidahnya).

5- Tidak ada ketetapan yang menunjukkan bahawa ulama mengiktiraf mubahalah sebagai satu sumber qat'ie dan ukuran yang diyakini bagi menentukan hukum sesuatu masalah. Justeru mubahalah bukan suatu hujah yang kuat atas kebenaran atau kesalahan seseorang. Ianya sebagaimana masalah kasyaf yang tidak dapat dijadikan hujah dalam menentukan hukum bagi sesuatu masalah. Ini kerana Allah SWT maha berkuasa untuk menurunkan sesuatu bala atau tidak menurunkannya. Bolehjadi orang yang benar akan menerima akibatnya, manakala orang yang salah dapat duduk bersenang-lenang setelah bermubahalah.

6- Menurut Syeikh al-Kawthari dalam Maqalatnya (h. 308), pada kurun ke-9 Hijrah berlaku perselisihan sengit antara ulama di Mesir mengenai kedudukan Ibn al-Faridh dan Ibn ‘Arabi. Perselisihan ini dihangatkan lagi oleh Burhanuddin al-Biqa’i (m. 850H) yang menulis sebuah kitab mengkafirkan Ibn ‘Arabi. Dan kitab tersebut kemudian disanggah oleh al-Suyuti (m. 911H). Pandangan al-Sakhawi (m. 902H) dalam perselisihan yang berlaku tentang Ibn al-Faridh dan Ibn ’Arabi sebenarnya tidaklah sehingga mengkafirkannya. Mengenai Ibn al-Faridh beliau berkata: ”Syair yang dinisbahkan kepada beliau tidak sampai riwayatnya dengan sanad yang sahih, dan kami tidak mengkafirkan seseorang dengan suatu perkara yang berkemungkinan, terutama tidak ada faedah dalam mengkafirkannya, akan tetapi yang berfaedah ialah dalam menjauhkan orang daripada tulisan berkenaan”. Mengenai Ibn ’Arabi pula, al-Sakhawi telah menyusun kitab (القول المنبي عن ترجمة ابن عربي) yang menghuraikan kebenaran dan kesalahan Ibn ‘Arabi. Kemudian diringkaskan dalam kitab (الكفاية في طريق الهداية). Beliau juga ada menyusun kitab lain berjudul (تجريد أسماء الآخذين عن ابن عربي). Pandangannya terhadap Ibn ’Arabi lebih kurang juga sepertimana pandangannya terhadap Ibn al-Faridh. Dalam masalah ini, Syeikh al-Kawthari menyatakan bahawa pandangan al-Sakhawi inilah sebagai kata pemutus, atau pandangan yang dipilih (yakni tawaqquf di samping mengecam mana-mana orang atau kitab yang benar-benar terseleweng).

Wallahu a’lam.

No comments: