Tuesday, December 8, 2009

Review Buku Baru Beli


Saya baru beli buku ini dan ingat hendak menulis sesuatu tentangnya, namun rupanya ada orang yang dah mendahului. Disebabkan malas nak tulis perkara yang orang dah tulis, maka di bawah ini saya petikkan saja tulisan beliau yang diterbit di dalam blognya, Ikan Tongkol (apa la nama, bagi la yang islamik atau ilmiah sikit... pasal isi ada). Saya berpendapat ia sebuah buku yang baik, lebih-lebih lagi ia adalah hasil buah tangan tokoh yang masyhur. Memiliki buku yang ditulis oleh orang-orang yang ada nama sepatutnya menjadi salah satu minat utama kita (kalau ada ongkosnya).

____________________


Kitab Qatrul Ghaithiyyah (قطر الغيثية) yang dikarang oleh Tuan Husain Kedah adalah merupakan salah satu kitab yang sering dijadikan teks pengajian agama dalam bidang tasawwuf. Kitab ini telah ditulis oleh Tuan Husain Kedah kira-kira 70-80 tahun yang lalu. Dengan lenggok gaya bahasa lama, sesetengah pembaca mungkin berasa sukar untuk menelusuri kandungan teks kitab tersebut melainkan dengan mendengar syarahan ulama yang arif dalam mengupas kitab itu. Apabila menyebut tentang kupasan kitab, salah satu kitab mutakhir yang berada di pasaran yang mengupas kitab ulama ulung dari Kedah ini ialah kitab yang berjudul al-Jawahir al-Sufiyyah, yang ada dalam koleksi saya ini. Kitab ini ditulis oleh Dato Sheikh Zakaria bin Haji Ahmad Wan Besar, ahli jawatankuasa fatwa Negeri Kedah Darul Aman dan disunting oleh Prof. Madya Dr. Abdul Basir bin Haji Mohamad, pensyarah di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Dato Sheikh Zakaria bukanlah asing bagi masyarakat Utara Semenanjung kerana beliau sering mengadakan majlis pengajian di negeri-negeri sebelah utara seperti Kedah dan Pulau Pinang. Dato Sheikh Zakaria mendapat pendidikan di Madrasah Dar al-'Ulum al-Diniyyah Makkah dan Universiti al-Azhar Mesir dalam bidang ilmu Tafsir dan Hadith. Beliau turut mengikuti pengajian halaqah di Masjidil Haram lebih kurang 12 tahun. Antara ulama masyhur yang menjadi gurunya ialah Syeikh Muhammad 'Ali al-Maliki al-Makki, Syeikh Ibrahim Fathani, Syeikh Abdul Qadir Talib al-Mandili, Syeikh Muhammad Yasin Isa al-Fadani, Syeikh Ismail Abdul Qadir al-Fathani atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Da Eil dan Syeikh Hussain al-Falembani.

Saya mendapat maklumat tentang kitab kupasan yang ditulis oleh Dato Sheikh Zakaria ini setelah terbaca dalam satu makalah Prosiding Nadwah Ulama yang ditulis oleh Dr. Abdul Basir (kalau tak salah saya) kira-kira dua tahun yang lepas. Dalam makalah tersebut ada disebut nama judul kitab ini sebagai antara puluhan kitab yang ditulis oleh Dato Sheikh Zakaria tetapi apabila saya membuat carian di kedai-kedai ternyata buku tersebut belum lagi berada di pasaran. Sehinggalah pada awal tahun ini (rasanya dalam bulan 2 kut), barulah saya berjaya menemuinya di pasaran. Kitab ini dterbit di bawah label Mahzum Book Services. Kitab setebal 116 mukasurat ini dibahagikan kepada empat fasal tidak termasuk mukadimah dan khatimah. Selain dari kupasan terhadap teks Qatrul Ghaithiyyah, turut dimuatkan ialah nota kaki (tahkik Dr. Abdul Basir), yang ada di antaranya mengandungi biografi ringkas tokoh-tokoh besar dalam Islam.

Antara bab penting yang terkandung dalam kitab ini ialah bab mushahadah. Makna mushahadah dinyatakan seperti berikut; Mushahadah dari sudut bahasa adalah al-ittila’ 'ala al-shay’ iyanan bererti melihat sesuatu dengan sebenar-benar melihat iaitu seorang melihat sesuatu dengan matanya sendiri. Manakala dari sudut istilah pula adalah an yudim al-ittila’ ‘ala Allah Ta’ala bi ‘ayn qalbih bererti bahawa seorang mengekalkan melihat Allah Ta’ala dengan mata hatinya.[1] Mushahadah itu adalah semulia-mulia keadaan bagi ahli sufi dan bagi mereka terdapat beberapa darjat mushahadah haqq Allah Ta’ala iaitu;
1. Mushahadah kepada segala perbuatan Allah Ta’ala.
2. Mushahadah kepada segala sifat-sifat Allah Ta’ala.
3. Mushahadah kepada zat Allah Ta’ala.
[2]

Kupasan tentang faktor-faktor yang menghalang perjalanan salikin menuju kepada Allah Ta’ala juga mudah dihadam. Sebagai contoh, perbezaan antara awa’iq, awarid dan qawadih ada dinyatakan didalam kitab ini.[3] Di bahagian akhir kitab, doa al-marhum Tuan Hussain Kedah turut dimuatkan.

______________________
[1] Zakaria Ahmad Wan Besar. 2009. Al-Jawahir al-Sufiyyah Huraian Kitab Qatrul Ghaithiyyah (ed. Abdul Basir Mohamad). Mahzum Book Services. Batu Caves. Selangor. m. 24.
[2] m. 24.
[3] m. 80.

No comments: