Pages

Monday, August 17, 2009

17 Faedah Musibah, Bala Bencana dan Ujian Allah

Ada baiknya dalam situasi sekarang ini kita memuhasabah diri kita sendiri dan melihat ujian Allah SWT ini dengan pandangan basirah (mata hati) kita. 17 faedah ini disebut dalam risalah al-Fitan wal-Balaya wal-Mihan wal-Razaya, atau Fawa'id al-Balwa wal-Mihan oleh Imam 'Izzuddin bin 'Abdis Salam (m.660H), tokoh ulama besar dalam abad ke-7 hijrah, yang terkenal dengan gelaran Sultan al-'Ulama'. Saya nyatakan keseluruhannya secara ringkas dengan sedikit olahan daripada saya, penulis yang da'if ini.

Semua musibah, bala bencana dan ujian Allah SWT yang menimpa kita ini sebenarnya mengandungi hikmah dan rahsia di sebaliknya. Ia merupakan faedah dan manfaat yang besar bagi umat Islam secara khususnya. Antara hikmah atau faedahnya ialah;

1- Dapat mengenal keagungan dan kekuasaan rububiyyah (ketuhanan) Allah SWT.
2- Dapat menyedari akan kehinaan dan kekurangan 'ubudiyyah (perhambaan) manusia sebagai hamba-Nya.
3- Dapat mengikhlaskan diri kepada Allah SWT, kerana Dia-lah sahaja yang dapat menariknya kembali.
4- Dapat kembali semula kepada Allah SWT dan memberi tumpuan terhadap-Nya.
5- Dapat merasa rendah diri, dan berdoa mengharap kepada-Nya.
6- Dapat mendidik diri bersifat lemah lembut dan tidak lekas marah terhadap orang yang fitnah/musibah tersebut datang daripadanya, atau yang menyebabkannya. Ini kerana keyakinan kita kepada qadha' dan qadar Allah SWT.
7- Dapat mendidik diri memaafkan orang yang membawa fitnah/musibah tersebut, atau yang menyebabkannya.
8- Dapat mendidik sifat sabar dalam menghadapi musibah tersebut.
9- Dapat mendidik rasa gembira dengan musibah tersebut kerana faedah-faedah serta ganjaran-ganjaran pahala yang disediakan oleh Allah SWT.
10- Dapat mendidik rasa syukur ke atas musibah tersebut kerana mengandungi faedah-faedah berkenaan.
11- Dapat menghapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan.
12- Dapat menimbulkan rasa kasihan dan simpati terhadap orang yang ditimpa bala bencana, dan dapat membantu kesusahan mereka.
13- Dapat mengenal dan menghargai nikmat keafiatan dan kesihatan, serta mensyukurinya.
14- Dapat memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT ke atas faedah-faedah yang tersebut di sini di akhirat kelak nanti.
15- Ia mengandungi faedah-faedah atau hikmah-hikmah yang tersembunyi, yang kadangkala nampak zahirnya negatif tetapi sebenarnya positif, atau pada zahirnya tidak kita sukai tetapi sebenarnya lebih baik untuk kita.
16- Dapat menegah diri kita dari sifat-sifat yang buruk, sombong, bangga diri, riya', takabbur dan seumpamanya.
17- Dapat mendidik sifat redha yang membawa kepada keredhaan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

3 comments:

al-fagir abu zahrah said...

Assalamu'alaikum,

Alhamdulillah. Artikel yang bermanfaat. Ustaz ana ada email pada ustaz. Sekian.

fairuz 4333 said...

salam...us khafiz..boleh saya pinjma n potostat buku eiz abdul salam tu?

Blog al-Faqir Ila Rabbih Ta'ala said...

Buku tu saya dapat daripada internet dalam bentuk PDF. Tak ingat laman web yang mana satu. Tapi ada salinannya dalam pendrive. Cuba taip judulnya di enjin carian google atau yahoo.

TQ.