Pages

Monday, August 10, 2009

Mazhab Dr. Yusuf al-Qaradhawi



Dr. Yusuf al-Qaradhawi merupakan antara ulama yang berjaya menarik perhatian ramai ulama dan ahli akademik terhadap aliran pemikiran yang dibawanya. Ini kerana metod beliau sejak dari mula adalah bersikap sederhana dan toleran di dalam mengupas isu-isu berkaitan Islam, selain kemampuan ilmu pengetahuannya yang cukup luas. Kesan daripada acuan pemikiran dakwah Imam Hasan al-Banna ketara pada pemikiran beliau. Syeikh al-Qaradhawi digelar sebagai 'Pemimpin Aliran Sederhana' (رائد المدرسة الوسطية) dalam pemikiran Islam. Beliau berjaya menarik aliran Asy'ariyyah sederhana dan aliran Salafiyyah sederhana terhadap wawasan pemikirannya, meskipun ada segelintir yang ekstrim daripada kedua-dua aliran tersebut yang menganggapnya sebagai sesat dalam fatwa-fatwanya.

Inilah kesederhanaan Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Dalam sebuah majlis beliau pernah berseloroh demikian: "Saya adalah salafi, ala sufi, ala asy'ari". Katanya lagi: "Ada orang bertanya saya: Apa mazhab tuan? Lalu jawab saya: Saya masuk ke al-Azhar sebagai hanafi. Adapun sehingga sekarang saya adalah hanafasya'i", maksudnya mazhab hanafi campur syafi'i. Lantas ketawalah semua yang ada di dalam dewan majlis itu dengan gurauan Syeikh al-Qaradhawi tersebut.

Beliau menceritakan sebabnya demkian: "Ketika saya nak mendaftar di al-Azhar, orang yang mendaftarkan saya pada masa itu ialah salah seorang alim dari tempat kami Safat Turab, wilayah Gharbiyyah (Delta Nil) bernama Syeikh 'Abdul Muttalib al-Bitti rah. Ketika beliau menulis pendaftaran berkenaan, tiba pada ruangan 'mazhab'. Pada mulanya saya nak menyebut kepada beliau: Tuliskan mazhab syafi'i, tetapi tiba-tiba beliau berkata terlebih dulu: Apa pendapat kamu ya Syeikh Yusuf kamu jadi hanafi seperti saya? Lalu jawab saya: Baiklah kalau begitu saya hanafi seperti tuan. Maka jadilah saya bermazhab hanafi secara tak sengaja". Kata beliau dengan tersenyum.

Menurutnya lagi, beliau mempelajari semua mazhab ketika di al-Azhar. Kata beliau: "Saya mempelajari mazhab hanafi, dan selepas itu saya mempelajari kesemua mazhab. Saya juga mempelajari akidah Asy'ariyyah ketika di Maahad Diniyyah dan juga di Fakulti Usuluddin. Akan tetapi saya pergi lebih luas, lalu saya pelajari juga akidah Salafiyyah.. Saya pelajari al-Ghazali dan saya juga pelajari Ibn Taimiyyah".

Tambahnya lagi: "Pelajaran yang mula-mula saya pelajari ialah pada al-Ghazali, dan selepasnya baru saya pelajari Ibn Taymiyyah. Saya kagum dengan Ibn Taimiyyah, akan tetapi saya tidak menolak al-Ghazali secara langsung. Saya merujuk kepada pihak yang ini dan juga kepada pihak yang ini. Dan seorang muslim itu memilih daripada tiap-tiap sesuatu, apa yang paling baik ada padanya, dan tidak mengkafirkan seseorang melainkan dengan perkara yang qat'i (pasti dalam agama)".

(Rujuk pautan pada judul)

1 comment:

Anonymous said...

Salam..saya copy ye ustaz..syukran