Pages

Tuesday, August 18, 2009

Tidak Perlu Mazhab-Mazhab Fiqh? (1)

Kembali Kepada al-Quran dan al-Hadith

Seruan sesetengah pihak agar kembali kepada al-Quran dan al-hadith merupakan satu seruan yang perlu disambut dan diterima dengan baik. Kerana itulah wasiat baginda Nabi SAW kepada umatnya. Namun, jika seruan demikian mempunyai agenda tertentu, ia mungkin sukar untuk disambut dengan tangan terbuka. Iaitu agenda yang bertujuan menyeru supaya semua orang mengikut kefahaman mereka dan menolak kefahaman-kefahaman pihak yang lain terhadap al-Quran dan al-hadith. Barangkali pihak tersebut menyangka mereka telah melakukan perkara yang baik untuk agama, padahal hakikatnya ia telah memberi kesan yang buruk kepada agama. Terutama apabila terjadi perpecahan di antara umat Islam.

Kematangan Mazhab

Bukankah perbezaan mazhab-mazhab fiqh yang wujud sehingga sekarang adalah kerana perbezaan dalam memahami al-Quran dan al-hadith? Ini kerana sebahagian nas-nas al-Quran dan al-hadith secara tabi’i dapat memberikan beberapa tafsiran berbeza dan dapat difahami dengan beberapa kefahaman. Inilah kelenturan dan keanjalan syariat Islam. Justeru, sudah lebih dari 10 kurun mazhab-mazhab fiqh ini dipakai oleh umat Islam, dan ia telah diiktiraf oleh seluruh ulama muktabar selama berabad-abad lamanya. Bermula dari proses kelahirannya sehinggalah kepada proses kematangannya pada masa sekarang. Justeru, seruan ’kembali kepada al-Quran dan al-hadith’ adalah seruan yang hak, namun mudah disalah-erti atau disalah-gunakan. (كلمة حق يراد بها الباطل)

Lebih mengelirukan apabila disertai dengan seruan agar mengenepikan atau menolak mazhab-mazhab fiqh yang ada. Lalu mazhab-mazhab tersebut tidak perlu dipakai kerana sudah memadai dengan al-Quran dan al-hadith sahaja. Dari satu sudut, hal ini turut dapat menafikan konsep dua pahala bagi pihak yang betul dan satu pahala bagi pihak yang silap di dalam masalah-masalah yang diperselisihkan menurut batasan-batasan yang diiktiraf.


Kedudukan mazhab-mazhab fiqh yang dipegang oleh umat Islam di dunia.

Perbezaan Sisi Pandang

Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam sesuatu masalah ada pihak yang lebih benar daripada pihak yang satu lagi. Bagaimanapun, ianya mempunyai dua kemungkinan, iaitu sama ada hujah sebelah pihak dilihat lebih kuat manakala hujah sebelah pihak lagi dilihat lemah, ataupun hujah kedua-dua pihak dilihat sama kuat dan tidak dapat dipastikan sebelah mana yang lebih lemah. Ukuran penentuan tersebut pula adalah amat relatif bergantung kepada sisi pandang seseorang alim, yang tidak mustahil seorang alim yang lain pula melihat sisi pandang yang sebaliknya.

Hakikatnya, mazhab-mazhab fiqh yang muktabar masih diperlukan kerana ia telah diasaskan di atas landasan yang kukuh. Masing-masing mempunyai usul mazhab yang saling disepakati, mahupun diperselisihkan sebagai sumber. Secara realiti, mereka yang mendakwa tidak mengikut atau memakai mana-mana mazhab fiqh, sebenarnya terhutang budi kepada mazhab-mazhab fiqh ini kerana telah menyediakan tapak bagi mereka membina dan mengasaskan 'mazhab baru'. Tanpanya mereka mungkin meraba-raba di dalam kegelapan. Padahal, rasa terhutang budi dan sayang inilah yang menyebabkan tokoh-tokoh ulama besar, walaupun mereka telah mencapai taraf mujtahid tidak mahu mendabik dada dan mengasingkan diri daripada mazhabnya.

Mazhab Kelima Terbesar

Tanpa dinafikan bahawa arus pembaharuan fiqh di zaman mutakhir ini telah melahirkan mazhab kelima terbesar Ahlus Sunnah wal-Jamaah, iaitu mazhab ahlul-hadith, yang berkembang di bawah aliran salafiyyah, di mana mereka mengisytihar mengasingkan diri daripada empat mazhab fiqh muktabar yang sedia ada. Berbicara di dalam dunia realiti, penulis melihat perkembangan mazhab ini memang tidak dapat disekat atau dihalang, dan sama ada kita suka atau tidak ia pasti akan terus berkembang. Fenomena demikian dapat dilihat seperti di Arab Saudi, Mesir, negara-negara Arab yang lain, Pakistan, India, dan termasuk juga di Nusantara. Meskipun mazhab ini belum tersusun dengan rapi, namun mesejnya yang mudah dapat diterima oleh generasi muda dengan baik, iaitu memilih dan mengikut dalil yang lebih rajih (lebih tepat). Bagaimanapun, disebabkan jahil atau taksub situasi ini adakalanya membawa kepada perbalahan runcing. Terutama apabila berlaku kes membidaah dan menyesatkan orang lain.

Alim ulama mazhab ahlul-hadith ini sewajarnya lebih tertumpu kepada menyusun mazhab mereka dengan lebih sistematik secara lengkap yang berasaskan kepada tarjih (pemilihan pendapat yang lebih kuat dan tepat) semata-mata yang dibina di atas usul yang jelas. Percubaan kitab Fiqh al-Sunnah dan kitab Usul al-Fiqh ’ala Mazhab Ahl al-Hadith misalnya, patut dipanjangkan dan diperbincangkan dengan lebih teliti. Ini lebih baik daripada menolak mazhab orang lain yang sudah teguh dan dianut oleh ribuan ulama muktabar sepanjang zaman. Dan lebih baik daripada berselisihan dalam masalah-masalah tertentu sahaja, sedangkan dalam baki pengamalan yang lain rupa-rupa sebenarnya terikat dengan usul mazhab tertentu tanpa disedari, tetapi mendakwa tidak mengikutinya. Dan lebih baik daripada membiarkan situasi berlakunya perbezaan tarjih dalam sesuatu masalah di antara alim-ulama mazhab ahlul-hadith itu sendiri sehingga pengikut-pengikut mereka menjadi bingung.

Wallahu a'lam.

1 comment:

Anonymous said...

salam ustaz of topic jap. nak tanya pernah dengar ttak haduith ni:

Diriwayatkan oleh Baihaqi, seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Abu Dajanah yang berkata “Aku telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w dengan berkata, wahai Rasulullah, sedang aku berbaring tiba-tiba aku mendengar desir suara seperti bunyi kisaran gandum dan berdengung seperti suara lebah. Dan aku terlihat pancaran kilat, lalu mengangkat kepala kerana terkejut dan takut.

Tiba-tiba aku nampak bayangan hitam berdiri tegak memanjang memenuhi ruang rumahku. Lalu aku mendekati bayangan itu, aku terasa kulitnya seperti bulu landak. Bayang itu menyemburkan cahaya seperti semburan bunga api ke arah mukaku sehingga aku menyangka badan dan rumahku terbakar.

Lalu Rasulullah s.a.w menyatakan, “itu adalah syaitan yang mahu mengacau atau membuat keburukan di rumahmu ya Abu Dajanah”, Lalu Rasulullah menyuruh Ali Bin Abi Talib, “tulislah ini”. Maka Saidina Ali pun menulisnya seperti di atas.

Aku membawa tulisan tersebut balik ke rumah dan aku letakkan di kepala dan tidur, tidak lama aku mendengar jeritan dan tangisan berkata “wahai Abu Dajanah, engkau telah membakar kami, dengan perkataan/tulisan di atas. Demi kebenaran sahabatmu (Rasulullah saw), tolonglah buangkan tulisan tersebut, aku tidak akan datang mengacau engkau lagi, tolonglah”.

Abu Dajanah menjawab “aku tidak akan membuangnya sehingga Rasulullah suruh aku membuangnya”, Abu Dajanah menyambung ceritanya, sepanjang malam tersebut aku mendengar jeritan dan suara mengerang kesakitan sehinggalah menjelang subuh, ketika aku sembahyang subuh bersama Rasulullah, aku pun menceritakan kepada baginda hal tersebut, “Demi Allah yang telah mengutusku sebagai Rasul sesungguhnya mereka (syaitan-syaitan) itu telah merasakan kesakitan dan akan menerima azab siksa sehingga hari kiamat”.

MAKSUD AYAT TERSEBUT :

Inilah perutusan dari Muhammad Rasul sekian alam. Kepada mereka yang datang mengerjakan umrah dan berziarah. Amma ba’du. Sesungguhnya kebenaran itu adalah perlindungan bagi kita. Jika engkau terlalu baik, jahat, pemimpin yang sebenar ataupun yang bathil.

Inilah kitab Allah yang membicarakan dengan sebenar-benarnya kepada kita, sesungguhnya Kami mencatatkan apa yang kamu lakukan dan malaikat Kami menulis segala apa yang engkau sembunyikan. Tinggalkanlah pembawa utusan ini dan pergilah kepada penyembah berhala dan mereka yang menyangka bahawa ada tuhan selain Allah.

Katakanlah tiada tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu akan hancur melainkan Dia. BagiNyalah segala ketentuan dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

Haa Miiim, mereka tidak akan diberi pertolongan, Haa Miiim Ain Siiin Qaaf. Berpecah belahlah musuh-musuh Allah. Hujah Allah itu amat jelas,Tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah.

Allah memberikan kecukupan kepadamu, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maha Benarlah Allah yang Maha Besar.

macam tangkal je