Ulasan Hadith :
Dalam entri lepas yang saya petik dari blog Bahrusshofa ada dinyatakan: "Kemuliaan baginda tiada tara, sehingga baginda bertemu Rabbul 'Izzah, capal baginda masih berada di tapak kaki. Sehebat-hebat mahkota para raja dan pemerintah tidak dapat melawan kemuliaan yang telah dicapai oleh capal Junjungan s.a.w.".
Atas dasar setiap ilmu perlu dirujukkan kepada ahlinya, maka perlulah kita lihat apa kata ahli hadith tentang pernyataan di atas. Pernyataan tersebut cuma saya petik sahaja dari blog berkenaan sehinggalah saya menjumpai kitab "Ghayah al-Maqal fi ma Yata'allaq bin-Ni'al" oleh Imam 'Abdul Hayy al-Laknawi (m.1304H). Al-Laknawi menukilkan daripada kitab Fathul Muta'al oleh al-Maqqari yang mengulas dengan panjang bahawa pernyataan tersebut tidak terdapat dalam mana-mana riwayat hadith pun walaupun yang daif, dan ia adalah kisah palsu yang direka-reka. Beliau bersependapat dengan al-Maqqari dan lain-lain ulama bahawa ianya tidak sabit dan patut ditinggalkan. (Lihat hlm. 41-42)
Walaupun secara logik kita dapat membayangkan bahawa Nabi SAW diisrakkan dan dimi'rajkan dengan berpakaian lengkap, termasuk capalnya. Namun, ulama hadith sangat berhati-berhati dalam perkara menyandarkan sesuatu kepada zat Nabi SAW meskipun sesuatu yang kelihatan remeh, sebab khuatir termasuk ke dalam senarai para pendusta. Riwayat israk dan mi'raj telah diriwayatkan oleh sekitar 40 orang sahabat, tetapi tidak ada satu pun yang menyentuh perihal capal baginda SAW. Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment