Monday, June 1, 2009

Menghidupkan Pengajian Sahih al-Bukhari

Kitab Sahih al-Bukhari merupakan kitab hadith yang paling unggul sekali. Tidak ada selepas al-Quran kitab yang paling sahih selain darinya. Maka ia telah dipelajari dan diriwayatkan dari satu generasi ke satu generasi hingga ke hari ini tanpa terputus pertalian sanadnya.

Contoh manuskrip Sahih al-Bukhari.

Pada masa dahulu, Sahih al-Bukhari diajar dan disampaikan dalam banyak majlis-majlis pengajian ilmu. Namun, kemudiannya apabila situasi berubah, khabar berita mengenai pengajian-pengajian Sahih al-Bukhari sudah jarang didengar kecuali di tempat-tempat tertentu sahaja seperti di India dan Pakistan.

Alhamdulillah. Nampaknya sekarang ini keagungan majlis-majlis pengajian Sahih al-Bukhari mula cuba untuk dihidupkan kembali di banyak tempat. Di Syria, majlis-majlis pengajian hadith, khususnya Sahih al-Bukhari telah mula dihidupkan oleh Syeikh Muhammad Abu al-Huda al-Ya'qubi al-Hasani. Di Indonesia, pengajian Sahih al-Bukhari telah dihidupkan oleh Syeikhuna Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Begitu juga di Malaysia, khususnya di KUIS (Bangi) ini, majlis pengajian Sahih al-Bukhari telah dihidupkan dan disampaikan oleh Syeikhuna Dr. Nur Abdi Gudle, Somalia. Beliau meriwayatkan kitab ini daripada gurunya, Imam Abu al-Hasan 'Ali al-Hasani al-Nadwi (rahimahullah). Maka di kesempatan ini, saya menyeru kepada semua, khususnya para pelajar KUIS sendiri, agar menghidupkan majlis yang sangat mulia dan penuh barakah ini.


Syeikh Muhammad al-Ya'qubi menyampaikan pengajian.

No comments: