Monday, June 15, 2009

Menghidupkan Pengajian Sahih al-Bukhari (3)


Majlis Pengajian Sahih al-Bukhari Syeikh Na'im 'Araqsusi

Meskipun majlis ini sudah berlalu setahun (tahun 2008 lalu) namun ia merupakan gambaran kecintaan terhadap ilmu di kalangan masyarakat Arab Syria yang perlu kita sebagai orang Melayu renungkan. Mungkin sesetengah orang menganggap bahawa majlis-majlis ceramah yang banyak boleh didapati yang disampaikan oleh para penceramah secara 'pidato' atau 'motivasi' sudah memadai tanpa perlu mencari majlis-majlis 'menadah kitab dari kulit ke kulit'. Bagi saya tanggapan ini adalah silap. Meskipun sesetengah majlis 'menadah kitab' ini pula perlu 'disegarkan' semula kerana mengambil masa yang sangat lama hingga puluhan tahun untuk menghabiskan sebuah kitab yang kecil sebab gurunya sangat pandai berceloteh. Sedangkan banyak kitab lagi yang perlu disajikan demi mengayakan masyarakat dengan ilmu.

Berbalik kepada majlis Syeikh Na'im 'Araqsusi, salah seorang muridnya menceritakan, bahawa majlis pengajian kitab Sahih al-Bukhari ini dihadiri oleh ribuan orang yang datang dari berbagai tempat sekitar kota Damsyik, Syria. Mereka bertumpu ke Masjid al-Iman, tempat majlis tersebut diadakan. Kira-kira 6,000 orang menghadiri majlis pengajian berkenaan bagi mendapatkan ijazah sanad periwayatan Sahih al-Bukhari daripada Syeikh Na'im. Masing-masing terpaksa mengenepikan pelbagai urusan harian bagi mengikut majlis pengajian tersebut secara tetap kerana ia merupakan antara syarat pengijazahan. Dengan penuh tekun dan sabar mereka mendengar penyampaian Syeikh Na'im yang bermula daripada jam 2 petang dan berlangsung hingga jam 10 malam setiap hari, yang berlanjutan selama lebih kurang 2 bulan lamanya. Subhanallah!

Syeikh Na'im turut mensyarahkan hadith-hadith Sahih al-Bukhari.



No comments: