Pages

Friday, June 12, 2009

Perbezaan Keluasan Ilmu Setiap Manusia (2)

Firman Allah SWT:

Dalam entri lepas telah saya sentuh tentang perbezaan ilmu setiap manusia secara umum. Kali ini ingin saya sentuh mengenainya dalam konteks yang lebih spesifik. Iaitu ilmu dapat diperolehi melalui pembacaan dan menelaah buku/kitab. Ini merujuk kepada ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan dengan lafaz 'Iqra'..'.

Berdasarkan pengalaman mengumpul kitab-kitab, ramai sahabat-sahabat yang saya kenal yang asyik dengan kitab-kitab. Walaupun ada setengah sahabat lain yang menganggap jika mengumpul banyak kitab nanti diumpamakan seperti himar (keldai) yang memikul barang-barang tanpa mengetahui apa barang yang dipikulnya. Itu pandangan masing-masing. Tetapi bagi pengumpul kitab yang saya kenal kebanyakannya tahu apa isi kandungan kitab yang mereka miliki walaupun secara umum sahaja.

Minat terhadap kitab ini menjadikan ada sesetengah kitab yang dianggap nadir atau sudah jarang ditemui ada dimiliki oleh sesetengah pengumpulnya. Al-marhum Ust. Wan Mohd. Saghir contohnya, adalah pengumpul kitab yang memiliki pelbagai manuskrip ulama Nusantara yang sudah jarang ditemui. Pak Matlob, pakar bahasa dari Johor juga memiliki sebuah khazanah kutubkhanah yang besar yang menyimpan pelbagai terbitan lama yang mungkin sudah sukar dicari di mana-mana. Sahabat saya, Ustaz Hj. Ahmad Shukri juga banyak menyimpan kitab-kitab nadir yang sudah sukar dijumpai. Dan banyak lagi tokoh yang hanya disebut beberapa orang sahaja di sini.

Secara zahirnya, orang yang memiliki banyak buku dan banyak membacanya, sudah tentu ilmu pengetahuannya lebih daripada orang lain. Saya sendiri juga adakalanya melihat kitab-kitab koleksi sahabat-sahabat yang belum saya punyai, merasa sedikit cemburu kerana tidak memilikinya. Kadang-kadang kerana kepentingannya saya terpaksa fotostat sahaja. Sebaliknya, ada juga kitab-kitab dalam koleksi saya yang tidak dimiliki oleh sahabat-sahabat lain.

Adakalanya kecenderungan terhadap bidang tertentu juga menjadikan kitab-kitab dalam bidang-bidang lainnya tidak diambil perhatian. Maka jelasnya, keluasan ilmu di antara setiap orang juga adalah berbeza berdasarkan perbezaan memiliki, menelaah dan membaca kitab-kitab. Kepada para pelajar, bacalah.. anda tidak akan rugi. Jadikanlah 'Kubuku Buku', bak kata seorang sasterawan daripada Indonesia.


No comments: