Pages

Tuesday, June 9, 2009

Monolog Sang Ajengan

(Sebuah Cerpen Mini)

Sang Ajengan bukanlah orang yang semberani. Namun jiwa agamanya selalu memberontak bila melihat orang tidak ikut syara'. Apatah lagi jika yang tidak ikut syara' itu saudara mara, kaum kerabat, kenal-kenalan. Sang Ajengan tidak mahu kalau dikata orang, "Itu si hajinya diam saja.. tak mengapa".

Bila ada kenduri-kendara, banyak sekali berlaku perkara-perkara yang sang Ajengan tidak mahu lihat. Walaupun pada kebiasaannya memang berlaku sehari-hari. Namun jika ada kenduri-kendara semuanya itu berkumpul di satu tempat dan semuanya dapat dilihat. Yang tidak peduli dengan waktu solat kerana jarang-jarang membongkok kepada Tuhan. Yang suka memakai ketat-ketat kerana tidak betah memakai yang longgar-longgar. Yang mendedah-dedah aurat kerana tidak biasa menutupnya...

Tidak mungkin perkara-perkara asas seperti itu dijahili. Sang Ajengan mengeluh kerana dirinya terlalu naif. Mahu saja rasanya sang Ajengan bersuara: "Wahai sekalian saudara dan saudari, ikutlah perintah syara'. Takutlah kalian kepada Allah SWT. Janganlah kalian gemar derhaka kepada-Nya!". Mahu saja sang Ajengan meneriak lagi: "Jangan pula kalian nanti mencari-cari aku di Akhirat. Dan jangan pula menyalah-nyalahkan aku. Sesungguhnya aku tidak redha dengan apa yang kalian perbuat!".

Sang Ajengan bertekad untuk mewasiatkan pendiriannya di atas lembaran kertas. Mudah-mudahan ia menjadi saksi nanti di Akhirat.

No comments: