Tasawuf adalah suatu ilmu yang suci bersih. Diambil daripada Kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW. Orang yang mengingkari tasawuf sebenarnya orang yang menghukum berdasarkan zahir sahaja. Apabila dia melihat beberapa orang yang tersesat kerana bertasawuf, lalu terus dibuat rumusan bahawa tasawuf adalah suatu benda yang tidak elok dan merosakkan. Maka orang seperti ini ibarat seorang yang mendapati beberapa biji epal yang busuk dalam sebakul epal yang elok, cantik lagi manis, lalu dibuang kesemua epal dalam bakul tersebut kerana menyangka kesemuanya busuk belaka. Tentunya tindakan sedemikian bukanlah suatu tindakan yang bijak dan betul.
Orang yang cerdik tidak membuat keputusan berdasarkan zahir semata-mata tanpa membuat penelitian yang mendalam. Orang yang hendak membuat penelitian mendalam pula perlulah mempelajarinya daripada orang yang arif tentangnya. Ini kerana setiap ilmu itu perlu dirujukkan kepada ahlinya. Maka tidak memadai jika penelitian dibuat berdasarkan kajian dan akal sendiri, kerana orang yang mencari ilmu dengan akalnya sendiri semata-mata seolah-olah membiarkan syaitan menjadi guru dan pemimpinnya. Lantas disangka dia telah membuat suatu kebaikan, padahal dia telah membantu syaitan dalam mencetuskan perpecahan dan perbalahan.
Orang yang mengingkari tasawuf ini kerana jahilnya, kadangkala mencampur adukkan perkara-perkara yang sepatutnya diasing-asingkan. Lalu diborong kesemuanya masuk dalam perbahasan akidah, sedangkan ia hanya berupa masalah khilafiyyah. Disangka ianya perbincangan usul, sedangkan ianya persoalan furu'. Dicanang bahawa ianya adalah pokok agama, sedangkan ianya adalah isu fiqh (kefahaman).
من يرد الله به خيراً يفقهه في الدين
"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah dengan dirinya kebaikan, Dia akan memberi kefahaman (fiqh) kepadanya dalam agama".
No comments:
Post a Comment