Pages

Saturday, July 11, 2009

Sedekah Pahala Untuk si-Mati (2)

[Fokus Kepada Mazhab al-Syafi'i]
Saya nukilkan pula di sini dari kitab Fatawa al-Imam al-Nawawi (hlm. 83):
Terjemahan :
"Masalah: Adakah sampai kepada si-mati pahala apa yang disedekahkan untuknya, doa, ataupun bacaan al-Quran?

Jawapan: Sampai kepadanya pahala doa dan pahala sedekah dengan ijmak ulama. Dan mereka berselisih pula tentang pahala bacaan al-Quran. Maka kata Ahmad dan sebahagian sahabat al-Syafi'i: Ia sampai. Manakala kata al-Syafi'i dan kebanyakan ulama: Tidak sampai".

Sebelum saya hurai selanjutnya, perlu diingat kalimah-kalimah berikut "doa", "sedekah" dan "bacaan al-Quran" dalam fatwa di atas. Telah saya nyatakan sebelum ini bahawa Imam al-Syafi'i menyatakan bahawa si-mati memperolehi manfaat daripada bacaan al-Quran orang yang masih hidup. Namun di sini disebut apa yang masyhur daripada beliau iaitu pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si-mati. Perlu diingat, dua pendapat yang zahirnya bertentangan dari sesetengah mujtahid itu memang banyak berlaku. Maka, menjadi kewajipan ulama-ulama mazhabnya untuk menjelaskannya. Justeru apakah penjelasan munasabah bagi isu ini? (Ini kerana ia tidak termasuk dalam perbincangan qawl qadim dan qawl jadid dalam mazhab al-Syafi'i)

Ulama Syafii menjelaskan, bahawa maksudnya ialah jika ia membaca al-Quran tetapi tidak berdoa supaya disampaikan pahalanya kepada si mati, maka pahala tersebut tidak akan sampai. Namun jika ia berdoa mohon disampaikan, nescaya si-mati akan memperolehi manfaat daripada bacaan al-Quran tersebut. Ulama-ulama Syafi'i menyatakan, perlu berdoa selepas bacaan al-Quran tersebut agar disampaikan pahalanya kepada si-mati, kerana dengan doa yang dipohonkan itu akan sampai kepada si-mati secara ijmak ulama. Dan inilah yang diamalkan oleh kebanyakan orang yang mengharuskan amalan tersebut, iaitu berdoa mohon disampaikan pahala amalan yang dilakukan kepada si-mati. Selain bacaan al-Quran, termasuk juga bacaan tahlil, zikir dan juga selawat. Ini berdasarkan hadith yang menyebut bahawa kalimah yang baik itu juga merupakan sedekah (الكلمة الطيبة صدقة). Dan sedekah juga sampai kepada si-mati secara ijmak ulama.

Apa salahnya ulama-ulama Syafi'i mensistem dan mendetilkan pendapat Imam mereka hingga dicemuh kerana tidak mengikutinya? Mungkin cemuhan tersebut tidak lain hanya bermaksud untuk mencela ulama-ulama bermazhab yang tidak mahu menjadi 'anti-mazhab' seperti mereka..

Ada juga sesetengah orang yang 'bakhil' mempersoalkan, pahala kita sudah cukup banyakkah sehingga mahu menyedekahkannya kepada orang lain? Sebenarnya orang yang membaca al-Quran dengan segala penumpuan (tawajjuh), peluh keringat, waktu yang diluang, bertajwid, berlagu dan juga tadabbur kemudian menyedekahkan pahalanya kepada si-mati, tidak sama pahala yang disedekahkan itu dengan pahala yang dia sendiri perolehi. Misalnya jika dia memperolehi pahala 100% dari hasil usahanya, maka pahala yang disedekahkan kepada si-mati itu tidak mungkin menjadi 100% kerana tidak ada sebarang usaha langsung daripada si-mati. Maka si-mati hanya memperoleh manfaat daripada pahala bacaan tersebut sahaja, tidak termasuk ganjaran susah-payah dan ikhlas orang tadi. Mungkin kita boleh umpamakan misalnya kita memberi sedekah RM100 kepada satu orang miskin, maka orang tersebut memperolehi RM100 juga yang boleh dimanfaatkannya, tetapi tidak memperolehi pahala mencari rezeki halal, pahala sedekah, membantu orang dan pahala ikhlas yang telah kita perolehi.

Bukankah dengan sedekah itu (tidak kira sedekah pahala atau harta) akan menambahkan rezeki dan barakah kepada kita? Kita sudah sedia maklum kedudukan hati orang 'bakhil' yang enggan langsung membantu orang lain ini...

No comments: