Pages

Tuesday, July 21, 2009

Mempertahan Tasawuf yang Dizalimi

[Menolak Athar Ibn Mas'ud Sebagai Hujah]

Antara hujah mereka yang menolak tasawuf ialah athar Ibn Mas'ud RA yang menunjukkan bidaahnya berzikir secara berjemaah dan dengan bilangan tertentu pula. Kata mereka :

"Suatu hadis yang tidak asing lagi dalam menolak hujah mereka yang mengatakan zikir berjemaah adalah sunnah adalah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Darimi dalam musnadnya menunjukkan bahawa zikir secara berjemaah adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah sahabat r.a.

Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya. Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”. Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?” Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi. Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms 11)" (Rujuk sini)

Kritikan :

Mereka yang menolak tasawuf ini begitu teruja dan seronok membantai ahli-ahli sufi dengan athar Ibn Mas'ud di atas. Namun dakwaan mereka itu dapat ditolak dengan beberapa perkara berikut;

1. Athar Ibnu Mas'ud di atas adalah khabar mawquf, dan ianya perlu ditafsir apabila berhadapan dengan hadith-hadith Nabi SAW yang zahirnya bertentangan dengan athar Ibn Mas'ud tersebut. Menurut Dr. Mahmud al-Tahhan, khabar mawquf pada asalnya tidak dapat bertindak sebagai hujah, iaitu bukan sepertimana hadith-hadith Nabi SAW. (Lihat sini)

2. Meskipun ianya dihukumkan sahih sanadnya oleh 'geng' mereka, namun ianya tidak lari daripada pertikaian kerana sanadnya dihukumkan oleh ulama lain pula sebagai da'if. Maka ia tidak dapat dijadikan hujah langsung bagi mereka yang melihat ianya adalah athar da'if. (Lihat sini, sini, sini atau sini)

3. Dalam athar tersebut, jika ianya benar, Abu Musa al-Asy'ari RA tidak melihat perbuatan yang dilakukan itu sebagai suatu bidaah yang buruk. Namun, beliau meminta juga pandangan Ibn Mas'ud sebagai pakar rujuk ketika itu. Kemudian Ibn Mas'ud RA menempelak mereka dan menyuruh mereka mengira dan menghitung dosa-dosa mereka sendiri. Di sini timbul persoalan, kenapa Ibn Mas'ud tidak menyebut hadith sebagai petunjuk dari Rasulullah SAW yang sepatutnya dilakukan oleh mereka? Bagaimanakah cara/kaifiat untuk menghitung dosa-dosa seperti yang disarankan oleh Ibn Mas'ud itu? Ini kerana ianya bersifat nisbi dan dapat dilakukan beberapa minit sahaja sekurang-kurangnya berbanding zikir yang dapat dilakukan sehingga beberapa jam. Bukankah dengan berzikir dapat menggilap kekaratan hati dan turut dapat menghapuskan dosa-dosa?

4. Kemungkinan tidak sampai kepada Ibn Mas'ud RA hadith-hadith yang menunjukkan mengenai berzikir secara berjemaah, dan juga berzikir dengan bilangan tertentu. Atau kemungkinan Ibn Mas'ud RA sudah mempunyai firasat tentang hal keadaan sebenar mereka, sebab itu beliau menyuruh agar mereka menghitung dosa-dosa mereka sendiri. Perawi juga menyebut bahawa kebanyakan orang-orang tersebut adalah bersama dengan puak Khawarij. Maka benarlah firasat Ibn Mas'ud tersebut dan sebagai suatu karamah bagi beliau. Justeru, athar tersebut adalah khusus bagi situasi sebenar yang berlaku pada masa itu. Andaian-andaian ini berdasarkan pendapat yang mengatakan athar tersebut adalah sahih, bagaimanapun kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakannya da'if.

Wallahu a'lam.

No comments: