Thursday, May 28, 2009

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari 40 Tahun Sebagai Muktazilah?

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (260-324H) merupakan tokoh mujaddid aliran Ahlus Sunnah. Namun sebelum itu, beliau telah menganut aliran Muktazilah, aliran yang mengutamakan logika akal lebih daripada nas wahyu. Ada yang mengatakan beliau berada di dalam aliran tersebut selama 40 tahun. Fakta ini meskipun tidak benar, banyak dipakai orang. Sehingga ada yang mendokong aliran Muktazilah ini berbangga kerana Imam al-Asy'ari mengakui kehebatan mazhab mereka selama 40 tahun. Manakala yang mengkritik beliau pula mempersendakannya kerana tempoh yang lama tersebut menunjukkan beliau bukanlah seorang yang cerdik dan bijaksana hingga lambat untuk tersedar.

Tempoh tersebut sebenarnya tidak tepat. Kitabnya 'Risalah Ahl al-Thaghr' yang merupakan jawapan kepada pertanyaan penduduk Thaghr, menyatakan tarikh surat yang dihantar oleh mereka ialah pada tahun 297H. Kitab ini mengandungi jawapan akidah yang benar dan menunjukkan beliau telah beralih kepada mazhab Ahlus Sunnah 1, 2 atau 3 tahun sebelum tarikh itu. Jadi, ketika surat tersebut sampai, beliau baru berusia 37 tahun. Berkemungkinan beliau telah meninggalkan mazhab Muktazilah ketika usianya 36, 35 ataupun 34 tahun.

Katakanlah pula beliau baru memahami perbincangan-perbincangan ilmu kalam ketika usianya 10 tahun. Maka natijahnya, tempoh masa beliau menganut fahaman Muktazilah ini hanyalah sekitar 24, 25 atau 26 tahun sahaja, dan bukannya 40 tahun!! Itupun jika diandaikan usia 10 tahun. Bagaimana jika kita andaikan pula di masa usia baligh, iaitu sekitar 15 tahun? Tentunya tempoh tadi menjadi lebih berkurangan, iaitu sekitar 19, 20 atau 21 tahun. Andaian ini semua kerana tidak diketahui bilakah tarikh bapanya yang bermazhab Ahlus Sunnah meninggal dunia, dan bilakah pula ibunya berkahwin dengan Abu 'Ali al-Juba'i, seorang tokoh Muktazilah yang terkenal.

No comments: