Sunday, May 24, 2009

Makin Banyak Mazhab Muncul di Malaysia?


Memang mazhab Syafie adalah mazhab yang dominan digunakan secara rasmi di Malaysia. Namun ia bukanlah menyeluruh kerana ia hanya merupakan majoriti sahaja. Maksudnya ada mazhab-mazhab lain yang digunapakai oleh sebahagian orang seperti mazhab Hanafi bagi kebanyakan India Muslim dan mazhab Ahli Hadith di Perlis (dalam erti kata menolak taklid kepada mazhab tertentu) serta mazhab Syiah (namun tidak diraikan dalam tulisan ini).

Perbezaan pendapat tidak begitu ketara sebelum ini kerana masing-masing mengamalkan mazhab mereka di dalam kelompok masing-masing. Namun apabila semakin ramainya sarjana-sarjana yang pulang ke tanah air sama ada dari Mesir, Jordan, Saudi, India, Yaman, Iraq, Morocco, Syria dan lain-lain pada separuh akhir tahun 90-an. Keadaan mulai berubah. Ini kerana masing-masing membawa ilmu masing-masing serta bertebaran di merata negeri menurut peluang rezeki dan pekerjaan. Ditambah dengan kedatangan sarjana-sarjana luar yang datang bermastautin di Malaysia, serta sarjana-sarjana tempatan yang terkesan dengan suasana ini. Termasuk meluasnya penggunaan internet. Perselisihan pendapat makin ketara.. Mazhab Maliki, mazhab Hambali, mazhab Zaidi dan mazhab Zahiri juga turut muncul..

Namun sebenarnya jauh sebelum ini perbezaan/perselisihan pendapat seperti sekarang pernah berlaku di Malaysia, iaitu antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Saya berikan suatu contoh untuk renungan bersama, iaitu;

Pernah sebuah polemik yang hangat mengenai satu masalah khilafiyyah berlaku antara Syeikh Abu Bakar Haji Hasan (m. 1938) bekas kadi Muar dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Minkabawi, yang menyatakan bahawa solat sunat qabliyyah Jumaat sebenarnya tidak sunnah di dalam bukunya ‘Tadhkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi ma Yaf‘al Qabl wa Ba‘d al-Jumu‘ah’. Lalu kenyataan tersebut dibantah oleh Syeikh Abu Bakar di dalam bukunya ‘Taman Persuraian’ dengan mengatakan bahawa ia sebenarnya adalah sunnah.

Syeikh Muhammad Tahir kemudian mempertahankan pendapatnya di dalam buku lain berjudul ‘Huraian yang Membakar Taman Persuraian Haji Abu Bakar’ dan ‘Ta’yid Tadhkirah Muttabi‘i al-Sunnah fi al-Rad ‘ala al-Qa’il bi Sunniyyah Rak‘atayn Qabl al-Jumu‘ah’. Syeikh Abu Bakar sekali lagi menolak pandangan beliau itu dengan buku lain berjudul ‘Taufan yang Memalui Atas Huraian Haji Tahir al-Minkabawi’ (1932).

Perbezaan pendapat sebenarnya bagus jika diiring dengan adab dan ketelusan dalam ruang lingkup syara'. Bagaimanapun, negara kita mungkin masih baru dengan suasana baru ini. Lama kelamaan kita mungkin akan biasa dengannya sebagaimana masyarakat di Timur Tengah. Seperti Mesir contohnya, suasana demikian sudah berkekalan ujud sejak ratusan tahun lamanya.

No comments: